IVY LING YIEN CHIN

IVY LING YIEN CHIN
Unit: S9
Major: Bahasa Cina (SK)
Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh,
Perak.

Kamera: Sony Nex-F3
Powered by Blogger.

Unsur seni dan prinsip seni dalam fotografi

Unsur seni

1. Garisan

Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual. Garisan dapat menimbul kesan kedalaman dalam gambar. 

2. Rupa

Rupa ialah hasil pertemuan hujung garisan dengan permulaannya. Aplikasi melalui rupa garisan, warna dan jalinan. Mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa geometri dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat pada bentuk yang khusus. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim). Ia merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya. Contoh gambar yang mengandungi unsur rupa adalah gambar shilouette.

3. Bentuk

Bentuk ialah lanjutan daripada pemahaman rupa. Bentuk mempunyai keluasan, ketinggian, jisim dan biasanya bentuk mempunyai lebih daripada satu permukaan. Bentuk mempunyai struktur dalaman. Gabungan daripada rupa dapat menghasilkan bentuk. Bentuk terbahagi kepada bentuk dua dimensi, tiga dimensi dan pelbagai dimensi.

4. Jalinan

Jalinan ialah sifat permukaan yang terdapat pada sesuatu objek dan boleh dikesan secara penglihatan (tampak) atau sentuhan. Jalinan pada permukaan objek alam sekeliling dan objek buatan manusia mempunyai kesan tampak yang berbeza. Tuhan menjadikan setiap objek alam dengan jalinan tertentu untuk manusia memikirkannya. Setiap jalinan mempunyai fungsi dan nilainya tersendiri. Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu; jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasa melalui sentuhan.

5. Ruang 

Ruang ialah jarak di antara objek yang wujud di dalam alam nyata dan juga dalam karya seni visual. Objek yang berada di hadapan lebih jelas dan lebih besar berbanding dengan objek sama saiz yang berada di bahagian belakang. Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek. Manakala dalam karya seni visual, ruang diwujudkan melalui kekuatan gubahan warna, jalinan, rupa dan bentuk.

6. Warna

Warna pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier. Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas. Sementara itu, warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder.

Prinsip Seni

1. Harmoni

Prinsip rekaan dalam karya seni tampak seperti unsur-unsur harmoni boleh diwujudkan dalam karya lukisan yang bertemakan alam semula jadi. Harmoni dalam konteks seni visual dapat ditonjolkan apabila wujudnya susunan ataupun ulangan unsur-unsur seni yang sesuai, seimbang dan menarik. Sebagai contohnya, keseragaman bentuk serta kepelbagaian saiz yang terdapat pada bahagian tubuh serta sayap seekor rama-rama akan menimbulkan kesan yang lebih harmoni, menarik serta seimbang. Penggunaan unsur-unsur harmoni dalam sesuatu hasil karya adalah bertujuan untuk menarik perhatian serta dapat menimbulkan nilai-nilai estetika.

2. Kontra

Dalam prinsip rekaan seperti kontra, ianya mudah dikesan serta diwujudkan apabila salah satu daripada unsur-unsur seni (contohnya warna) mempunyai ciri-ciri yang menunjukkan pertentangan antara satu sama lain untuk memberikan kesan yang menarik pada sesuatu karya yang telah dihasilkan. Dalam erti kata lain, kontra adalah berkait rapat dengan prinsip rekaan seperti penegasan, iaitu lebih tinggi kadar kontra, maka lebih menyerlah penegasan dalam sesuatu karya seni yang dihasilkan. Kontra boleh wujud melalui perbezaan saiz, warna, bentuk, rupa, jalinan dan garisan.

3. Penegasan

Salah satu aspek terpenting dalam prinsip-prinsip rekaan seni adalah aspek penegasan. Penegasan adalah merupakan sesuatu yang boleh memberi tumpuan kepada pemerhatian tampak. Penegasan pada sesuatu objek pada alam semula jadi dapat berfungsi dengan sepenuhnya sekiranya objek tersebut dapat menarik perhatian seseorang apabila melihat atau memerhati objek tersebut. Penegasan sememangnya dapat menonjolkan sesuatu unsur atau objek dalam sesuatu hasil karya yang dapat menarik perhatian.

4. Imbangan

Imbangan juga merupakan prinsip rekaan. Imbangan bermaksud kesamaan dan kesepadanan dari segi berat, tarikan dan tumpuan.imbangan boleh dibahagikan kepada dua iaitu imbangan simetri dan imbangan tidak simetri. Imbangan simetri ialah unsur seni yang sama antara kiri dan kanan atau atas dan bawah (garisan ‘axis’ dilukis di tengah-tengah pembahagian tersebut). Imbangan tidak simetri ialah unsur seni tidak sama di kedua-dua bahagian tetapi mempunyai ciri-ciri yang menimbulkan kesan keseimbangan.Contoh prisip rekaan imbangan dapat dirujuk dibawah.

5. Irama dan Pergerakan

Irama dan Pergerakan juga merupakan prinsip rekaan. Irama dan pergerakan berfungsi untuk memberi kesan lebih hidup dan realistik terhadap sesuatu gubahan. Pergerakan ialah keadaan yang bergetar, bergoyang, berayun, berpancar, bersinar-sinar dan sebagainya. Pergerakan dapat dilihat melalui kesan angin, air, ombak, taufan dan sebagainya. Ia dapat dijelaskan dengan gambar rajah dibawah.

6. Kepelbagaian

Unsur kepelbagaian juga merupakan prinsip rekaan. Kepelbagaian wujud hasil penggunaan pelbagai gaya, nilai, dan idea yang berbeza dalam sesuatu gubahan. Kepelbagaian juga dapat memberi gaya, variasi, tenaga, dan daya tarikan dalam sesuatu gubahan. Kepelbagaian dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni seperti garisan, rupa dan warna yang pelbagai dalam sesuatu gubahan.

7. Kesatuan

Seterusnya ialah kesatuan. Prinsip rekaan kesatuan bermaksud satu tema atau satu idea bagi semua unsur dalam sesuatu gubahan. Kesatuan dapat menimbulkan suasana yang tenteram, teratur dan selesa

0 comments:

Post a Comment